Asia

Umrah kembali dibenarkan Ahad ini

Oleh Agensi

Riyadh: Arab Saudi akan membenarkan pelaksanaan ibadah umrah sepanjang tahun secara berperingkat mulai Ahad ini.

Ia selepas tujuh bulan pihak berkuasa negara itu menangguhkan ibadah berkenaan susulan penularan pandemik Covid-19.

AFP melaporkan Ia akan dilaksanakan secara berperingkat menerusi tiga fasa iaitu fasa pertama membabitkan 6,000 rakyat dan penduduk negara itu, sehari.

Menteri Haji dan Umrahnya, Mohammed Saleh Benten memberitahu stesen penyiaran negara itu pada minggu lalu bahawa ibadah berkenaan dilakukan mengikut tempoh tertentu.

Beliau berkata, jemaah akan dibahagikan kepada kumpulan untuk memastikan mereka mematuhi penjarakan fizikal ketika berada di Masjidilharam.

Mulai 18 Oktober, bilangan jemaah akan dinaikkan kepada 15,000 orang sehari, dengan sebanyak 40,000 orang dibenarkan untuk menunaikan solat di masjid berkenaan.

Dalam pada itu, jemaah dari luar negara dibenarkan menunaikan umrah mulai 1 November, apabila bilangan jemaah dinaikkan kepada 20,000 orang sehari.

Selain itu, pada satu-satu masa, bilangan jemaah di Masjidilharam ditetapkan pada bilangan maksimum 60,000 orang.

Pihak berkuasa hanya akan membenarkan bilangan jemaah sama seperti sebelum pandemik Covid-19 selepas pandemik Covid-19 dapat ditangani.

Sehingga itu berlaku, Arab Saudi membenarkan kemasukan jemaah berdasarkan risiko kesihatan.

Individu yang mahu menunaikan umrah juga perlu mengemukakan permohonan menerusi dua aplikasi telefon bimbit, satu untuk mengisytiharkan mereka bebas daripada virus itu.

Satu lagi bagi mendapatkan permit untuk menunaikan umrah.

Setakat ini, Arab Saudi merekodkan lebih 335,000 kes positif Covid-19 dengan lebih 4,700 kematian.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 2, 2020 @ 6:10pm
    d