Asia

Selesai 350 kursus dalam 3 bulan

Oleh Agensi

New Delhi: Seorang wanita yang berasal dari Kerala, India mampu menamatkan 350 kursus hanya dalam tempoh tiga bulan.

Arathi Reghunath berjaya berbuat demikian ketika India mengenakan perintah berkurung di seluruh negara berikutan pandemik Covid-19.

Penuntut tahun dua Sarjana Sains Biokimia itu mengikuti kursus yang disertainya secara dalam talian.

Indiatimes.com melaporkan, kejayaan wanita itu membolehkan namanya disenaraikan dalam Forum Rekod Pelbagai (URF) kerana melengkapkan kursus dengan jumlah yang membanggakan.

"Saya diperkenalkan dengan kursus dalam talian ini oleh pensyarah, koordinator dan tutor di universiti.

"Saya berjaya lengkapkan semua kursus hanya beberapa minggu selepas mendaftar," katanya.

Wanita ini menghabiskan masa ketika perintah berkurung dengan membaca dan menyertai kelas yang diadakan secara maya.

Arathi melengkapkan kursus yang ditawarkan termasuk dari Universiti Teknikal Denmark, Universiti New York dan Universiti Rochester, masing-masing di Amerika Syarikat.

Ternyata kelebihannya itu mengagumkan masyarakat kerana kebijaksanaannya menguruskan masa.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 8, 2020 @ 6:45am
    d