Asia

10,000 bantah perintah darurat

Oleh Agensi

Bangkok: Kira-kira 10,000 orang menyertai demonstrasi pada Khamis di sini, bagi membantah langkah pihak berkuasa yang mengumumkan darurat dan menahan aktivis kumpulan prodemokrasi.

Perintah itu antara lain mengharamkan perhimpunan lebih daripada empat orang bertujuan untuk mengelak tunjuk perasaan sejak beberapa bulan itu, daripada berlarutan.

Selain itu, ia memberi kuasa kepada kerajaan untuk merampas sebarang peralatan komunikasi elektronik dan senjata yang boleh menimbulkan keadaan huru-hara.

Ia juga tidak membenarkan hantaran (posting) dalam talian yang dianggap menjadi ancaman kepada keselamatan negara.

Al Jazeera melaporkan peserta perhimpunan mendesak Perdana Menteri Prayut Chan-O-Cha yang juga bekas jeneral tentera untuk meletak jawatan.

Mereka mendesak perubahan dalam sistem demokrasi termasuk amalan pihak berkuasa yang dianggap gemar menakut-nakutkan pihak yang mengkritik kerajaan.

Selain itu, peserta yang sebahagian besarnya adalah golongan muda dan pelajar universiti itu menuntut perubahan sistem monarki di negara itu.

Mereka mendesak sistem yang lebih sesuai dengan keadaan semasa termasuk penghapusan undang-undang tegas yang melarang kritikan terhadap raja.

Peserta demonstrasi juga mahu istana tidak campur tangan dalam urusan politik.

Ia menjadi satu kejutan kepada rakyat Thailand yang sebelum ini amat menghormati raja dan tidak membuat sebarang kritikan terbuka mengenainya.

Menurut laporan AFP, peserta demonstrasi melaungkan 'keluar Prayut' dan 'bebaskan rakan kami!' di persimpangan tersibuk di tengah bandar raya ini.

Selepas perintah darurat diisytiharkan pada awal Khamis, polis antirusuhan menyuraikan ratusan penunjuk perasaan yang berkhemah di luar pejabat perdana menteri.

Selain itu, pemimpin pelajar turut menggunakan media sosial bagi menggesa orang ramai turun di jalan raya untuk menyatakan sokongan.

Selain penuntut universiti, demonstrasi disertai pelajar sekolah yang datang dengan menutup tanda nama pada baju seragam dengan pita pelekat.

Dalam pada itu, tiga aktivis menjadi antara lebih daripada 12 individu yang sudah ditahan pada awal Khamis.

Mereka termasuk Parit 'Penguin' Chiwarak dan Panusaya 'Rung' Sithijirawattanakul.

Penahanan mereka turut disiarkan menerusi penstriman langsung di Facebook.

Seorang lagi aktivis, Anon Numpa, ditahan secara paksa dan dibawa menaiki helikopter ke Chiang Mai.

Menjelang malam, akaun media sosial Anon dan Rung tidak lagi aktif.

Raja Thailand adalah individu paling berkuasa di negara itu dengan sokongan tentera dan golongan billionaire.

Beliau banyak menghabiskan masanya di luar negara tetapi kembali ke Bangkok sejak beberapa hari lalu bagi menyertai upacara keagamaan Buddha.

Rabu lalu, penunjuk perasaan dilihat menunjukkan tabik tiga jari ketika kenderaan diraja yang membawa Ratu Suthida dan Putera Dipangkorn Rasmijoti, melalui jalan raya.

Ia adalah simbol penentangan yang diambil daripada filem Hollywood, The Hunger Games.

Disiarkan pada: October 17, 2020 @ 7:15am
d