Asia

Tunang Khashoggi saman Putera Mahkota Arab Saudi

Oleh AFP

Washington: Tunang kepada wartawan Jamal Khashoggi memfailkan saman terhadap Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed Salman dan 28 individu lain di sebuah mahkamah di Amerika Syarikat (AS).

Ia bagi menuntut ganti rugi susulan pembunuhan kejam Khashoggi di konsulat Arab Saudi di Istanbul, Turki, pada 2 Oktober 2018.

Saman itu difailkan oleh wanita terbabit, Hatice Cengiz yang juga warga Turki dan kumpulan hak asasi manusia yang ditubuhkan sebelum kematian Khashoggi iaitu Democracy for the Arab World Now (DAWN).

Antara lain, Cengiz menuntut ganti rugi kecederaan diri dan kerugian kewangan susulan kematian Khashoggi.

Pada masa sama, DAWN mendakwa operasi dan matlamat organisasi itu terjejas susulan kematian pengasas mereka.

"Penyiksaan yang kejam dan pembunuhan Khashoggi mengejutkan orang ramai di seluruh dunia," menurut saman berkenaan.

"Objektif pembunuhan itu adalah jelas - untuk melumpuhkan perjuangan Khashoggi di AS, sebagai pengarah eksekutif bagi DAWN yang bertujuan mewujudkan demokrasi di dunia Arab."

Khashoggi dibunuh di dalam pejabat konsulat Arab Saudi di Istanbul sebelum mayatnya dipotong beberapa bahagian dan dilupuskan oleh pasukan yang didakwa mempunyai kaitan dengan pegawai kanan Mohammed.

Selepas mendapat tekanan antarabangsa, 13 warga Arab Saudi didakwa dibicarakan di Riyadh atas pertuduhan terbabit pemunuhan itu dan dijatuhkan hukuman penjara yang lama.

Bagaimanapun, dua pembantu kanan diraja iaitu timbalan ketua perisikan Ahmed al-Assiri dan ketua media istana, Saud al-Qahtani dilepaskan, meskipun dikatakan mempunyai kaitan dengan pembunuhan berkenaan.

Kedua-dua pegawai kanan itu, di samping tertuduh yang disabitkan bersalah di mahkamah di Arab Saudi dan mereka yang mempunyai kaitan dengan pembunuhan itu, dinamakan sebagai defendan di dalam saman berkenaan.

Cengiz dan DAWN berkata, saman itu difailkan di mahkamah persekutuan di Washington kerana mereka tidak yakin akan mendapat keadilan jika ia dikemukakan di Arab Saudi.

Khashoggi yang menjadi pengkritik tegar Riyadh sebelum ini tinggal di Washington dan pernah berkhidmat dengan akhbar Washington Post.

Cengiz mendakwa dia dan Khashoggi sudah bernikah mengikut hukuman Islam dan melakukan persiapan untuk upacara perkahwinan sivil, ketika lelaki itu dibunuh dengan kejam.

Berdasarkan saman itu, plaintif mendakwa bahawa perancangan untuk membunuh Khashoggi membabitkan kedutaan Arab Saudi di Washington, yang mengarahkan lelaki itu mengembara ke Istanbul untuk mendapat dokumen diperlukan bagi menjalani upacara perkahwinan sivil.

Disiarkan pada: October 21, 2020 @ 11:08am
d