Asia

Hina Nabi Muhammad SAW hanya menggalakkan keganasan - Iran

Oleh AFP

Tehran: Presiden Iran Hassan Rouhani pada Rabu memberi amaran bahawa penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW hanya akan menyebabkan keganasan dan pertumpahan darah.

Ia susulan tindakan Perancis yang mempertahankan penyiaran kartun yang menunjukkan Nabi Muhammad SAW.

"Menghina Nabi (Muhammad SAW) bukanlah satu pencapaian. Ia tindakan yang tidak bermoral. Ia menggalakkan keganasan," kata Rouhani menerusi ucapan dalam mesyuarat mingguan Kabinet yang disiarkan di televisyen.

"Adalah mengejutkan ia datang dari pihak yang mendakwa memiliki budaya dan demokrasi, tetapi mereka sebaliknya, sama ada tidak disengajakan, menggalakkan keganasan dan pertumpahan darah," katanya lagi.

Presiden Perancis Emmanuel Macron sebelum ini mempertahankan hak untuk menghina agama susulan pembunuhan guru sekolah negara itu selepas lelaki berkenaan menunjukkan kartun yang didakwa Nabi Muhammad SAW.

Kenyataan pemimpin menyebabkan protes dan kempen boikot terhadap produk buatan Perancis di beberapa negara yang penduduk majoritinya adalah penganut Islam.

Rouhani berkata bahawa'; "Dunia barat perlu memahami bahawa menghina Nabi Muhammad SAW adalah sama seperti menghina semua orang Islam, semua nabi, semua nilai kemanusiaan dan tidak beretika."

Beliau menambah bahawa; "semua orang Eropah terhutang budi dengan nabi (Muhammad SAW), kerana baginda adalah guru kepada manusia".

Rouhani juga meminta dunia barat supaya 'berhenti daripada campur tangan dengan hal ehwal dalaman orang Islam' jika pihak berkenaan 'benar-benar mahu mewujudkan keamanan, kesaksamaan, keharmonian dan keselamatan dalam masyarakat hari ini'.

Terdahulu, Iran pada Selasa memanggil diplomat kanan Perancis, sebagai bantahan terhadap perbuatan tidak dapat diterima yang dilakukan oleh pihak berkuasa negara berkenaan.

Dalam pada itu, blok Parlimen Lubnan yang terdiri daripada kumpulan Hizbullah yang rapat dengan Iran turut mengeluarkan kenyataan bagi membantah tindakan menghina Nabi Muhammad SAW.

Bagaimanapun, kenyataan itu tidak menamakan secara spesifik Perancis atau Macron, namun menyatakan tindakan kumpulan atau negara yang menyalahgunakan kebebasan bersuara untuk menindas individu lain dan menghalang mereka daripada mengamalkan kepercayaan masing-masing.

Disiarkan pada: October 29, 2020 @ 12:54pm
d