Asia

Taufan Goni badai Filipina

Oleh AFP

Legazpi, Filipina: Sekurang-kurangnya empat maut selepas Taufan Goni membadai Filipina semalam dengan pihak berkuasa memberi amaran keadaan lebih berbahaya bakal berlaku di wilayah ini.

Sejak kelmarin, hampir sejuta penduduk meninggalkan kediaman masing-masing.

Taufan yang dikategorikan sebagai terkuat tahun ini itu mula membadai Pulau Catanduanes dengan kelajuan angin 225 kilometer sejam dan hembusan angin hingga 310 kilometer sejam memusnahkan bumbung, menjatuhkan pokok dan mencetuskan banjir kilat.

Goni melanda hujung selatan pulau paling padat penduduknya, Luzon dan menuju ibu kota Manila, kata peramal cuaca negara dalam kemas kini terbarunya.

"Angin kencang yang dahsyat dan hujan lebat akan melanda kawasan di laluan taufan ini termasuk wilayah berhampiran ibu kota.

"Ini keadaan yang sangat berbahaya bagi kawasan-kawasan ini," kata ramalan cuaca berkenaan.

Taufan Goni tiba seminggu selepas Filipina berdepan Taufan Molave yang mengorbankan 22 nyawa.

Setakat ini, Goni meragut empat nyawa termasuk kanak-kanak lima tahun yang terkorban di wilayah Albay, kata Gabenor Alfrancis Bichara kepada stesen radio tempatan.

Dua daripada mangsa lemas manakala, seorang lagi dibawa lumpur dari gunung berapi.

Mangsa keempat terbunuh selepas dihempap pokok tumbang.

Sementara itu, di Manila, penduduk diarahkan mengosongkan kawasan setinggan yang berisiko dilanda banjir.

Lapangan terbang juga diarahkan menghentikan operasi memandangkan taufan itu menuju ke bandar berkenaan.

Malah, perkhidmatan cuaca juga memberi amaran banjir dan tanah runtuh kerana Taufan Goni bakal menyebabkan hujan lebat.

Filipina dilanda sekitar 20 ribut dan taufan setiap tahun, yang biasanya memusnahkan hasil tanaman, rumah dan infrastruktur, sehingga berjuta-juta orang jatuh miskin.

Setakat ini, taufan paling dahsyat adalah Taufan Haiyan, yang melanda bandar Tacloban dan menyebabkan lebih 7,300 orang mati atau hilang pada tahun 2013.

Disiarkan pada: November 2, 2020 @ 7:05am
d