Asia

'Kantoi' sebab terbatuk

Oleh Agensi

Jakarta: Nasib malang seorang pencuri di Purbalingga, Jawa Tengah apabila ditahan selepas terbatuk ketika bersembunyi, Selasa lalu.

Lelaki berusia 26 tahun sebelum itu dikesan mencuri baju di rumah seorang penduduk.

Portal Kompas melaporkan, suspek diburu penduduk selepas dia dilihat dalam keadaan mencurigakan dan mundar-mandir di kawasan rumah penduduk.

Menyedari dirinya sedang diburu, suspek kemudian bergegas menyembunyikan diri kerana khuatir diberkas.

Namun, ketika bersembunyi, dia dilaporkan tiba-tiba terbatuk sehingga penduduk mengesan lokasi persembunyiannya.

Ketua Polis Mrebet Edi Surono berkata, suspek ditahan di sebuah rumah.

"Ketika sedang menjalankan pemeriksaan, penduduk terdengar lelaki terbatuk dan mengesan suara itu.

"Akhirnya penduduk berjaya menahan suspek yang sedang bersembunyi," katanya.

Katanya, suspek kemudian dibawa ke balai polis untuk tindakan selanjutnya.

Beliau berkata, suspek dipercayai terbabit dengan beberapa kes kecurian pakaian milik penduduk.

Tambahnya, suspek kini ditahan dan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun sekiranya didapati bersalah.

Disiarkan pada: November 8, 2020 @ 1:17pm
d