Asia

Thailand izin tanam kanabis

Oleh BERNAMA

Bangkok: Lembaga Kawalan Narkotik Thailand memutuskan mengeluarkan kanabis daripada senarai narkotik kategori 5 bagi membolehkan penggunaan lebih meluas untuk tujuan perubatan, lapor agensi berita Thailand (TNA).

Perkara itu diumumkan Setiausaha Tetap Kesihatan Awam, Kiarttiphum Wongjit dan Ketua Setiausaha Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Paisan Dankhum pada satu taklimat media.

Lembaga kawalan itu memutuskan untuk mengeluarkan daun, batang, tangkai dan akar kanabis termasuk Kancha dan Kanchong daripada senarai narkotik.

Langkah itu merintis jalan membolehkan kanabis digunakan untuk perubatan serta dalam industri tekstil, kosmetik dan industri farmaseutikal. Pokok rami itu juga akan diangkat sebagai tanaman kontan baharu.

Selepas keputusan lembaga itu, Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) akan mengusulkan draf peraturan peringkat menteri bagi membolehkan ia ditandatangani Menteri Kesihatan Awam dan bakal diwarta dalam Warta Diraja untuk dikuatkuasakan.

Draf peringkat menteri berkenaan akan menggariskan kanabis dibenar ditanam atau diekstrak di Thailand dan tidak dianggap sebagai narkotik kategori 5.

Bagaimanapun, setiausaha tetap kesihatan awam berkata, meskipun larangan itu ditarik balik, pada peringkat awal ini hanya agensi kerajaan dan syarikat komuniti yang bekerja dengan agensi kerajaan dibenarkan menanamnya dan mereka perlu mendapat kebenaran FDA terlebih dulu.

Penggunaan dalam kalangan masyarakat awam masih diharamkan.

Disiarkan pada: November 27, 2020 @ 6:01am
d