Asia

Jepun benarkan warga asing terkandas bekerja sambilan

Oleh BERNAMA

Tokyo: Agensi Perkhidmatan Imigresen Jepun akan membenarkan warga asing tanpa visa pekerja untuk mendapatkan pekerjaan sambilan jika menghadapi kesukaran kembali ke negara asal disebabkan pandemik COVID-19, menurut agensi berita Jepun, Jiji Press.

Agensi itu akan mula menerima permohonan pada Selasa di pusat imigresen di seluruh negara.

Warga asing dibenarkan bekerja sambilan hingga 28 jam seminggu sekiranya memenuhi syarat-syarat ditetapkan, seperti gagal mendapatkan penerbangan pulang ke negara asal dan sokongan kewangan yang tidak mencukupi daripada keluarga.

Keutamaan diberi kepada pelawat jangka pendek, termasuk dengan tujuan melancong, urusan perniagaan atau mengunjungi saudara dan warga asing mempunyai visa khas, yang tidak dibenarkan bekerja setelah menamatkan kursus latihan teknikal.

Menurut agensi itu, setakat Rabu terdapat kira-kira 16,000 pelawat dengan visa jangka pendek dan sekitar 5,000 dengan visa khas.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: December 1, 2020 @ 2:33pm
    d