Asia

Makan tiga hari sekali

Oleh Agensi

Sumatera Utara: Seorang wanita mengelar leher tiga anaknya dan cuba membunuh diri selepas kecewa kerana hidup dalam kemiskinan.

Suaminya, Nofedi Lagahu berkata, sebelum itu isterinya pernah meluahkan perasaan kerana tidak tahan hidup dalam kesusahan.

"Kami hidup susah, hanya makan sekali dalam tempoh tiga hari. Jika tiada wang untuk beli beras, saya beri anak pisang dan air kosong saja," katanya seperti dilaporkan Tribunnews.

Menurutnya, dia hanya bekerja sebagai penoreh getah dengan gaji sekitar 200,000 rupiah (kira-kira RM57) seminggu yang digunakan untuk membeli keperluan rumah.

Nofedi berkata, dia kerap berselisih faham dengan isterinya, Marina Tafona'o namun, tidak menyangka masalah itu berakhir tragedi.

Dalam kejadian Rabu lalu, Marina membunuh tiga anak mereka dengan cara mengelar leher mereka.

Ketika itu, Nofedi tidak ada di rumah kerana keluar mengundi untuk Pilihan Raya Kepala Daerah dan turut membawa anak sulung mereka.

Selesai mengundi, mereka pulang dan melihat ketiga-tiga kanak-kanak itu telentang dan berlumuran darah.

Marina dilihat berada di sebelah ketiga-tiga anak mereka juga dalam keadaan terlentang bersama parang yang digunakan untuk mengelar mangsa.

Ketua Polis Nias, Iptu Yasden berkata, siasatan mendapati wanita berkenaan mengelar leher ketiga-tiga kanak-kanak itu menggunakan parang hingga hampir putus.

"Suspek cuba kelar lehernya namun sempat dihalang jiran," katanya.

Disiarkan pada: December 13, 2020 @ 2:00am
d