Asia

Indonesia tak beri semua vaksin secara percuma

Oleh BERNAMA

Jakarta: Indonesia hanya akan membiayai kos suntikan vaksin Covid-19 untuk satu pertiga, atau 32 juta daripada 107 juta rakyatnya yang disasarkan untuk menerima vaksin berkenaan, menjelang 2022.

Menteri Kesihatannya, Terawan Agus Putranto berkata, program vaksinasi itu menyasarkan kepada 67 peratus daripada 167 juta penduduknya yang berusia antara 18 dan 56 tahun.

Beliau berkata, strategi itu disarankan berdasarkan syor Pasukan Penasihat Teknikal Indonesia berhubung Imunisasi.

"Ada dua skim: program awam dan swasta. Program (awam) akan dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan, manakala program swasta akan digerakkan oleh syarikat milik kerajaan di bawah kementerian dengan kerjasama Kementerian Kesihatan," katanya seperti dilaporkan oleh Jakarta Post, baru-baru ini.

Dalam pada itu, AFP melaporkan Kementerian Badan Usaha Milik Negara (BUMN) Indonesia menyasarkan untuk membekalkan vaksin, tanpa harga subsidi, kepada 75 juta rakyatnya dalam tempoh lapan atau sembilan bulan akan datang.

Kementerian berkenaan juga bekerjasama dengan hospital dan klinik swasta bagi membolehkan individu yang mahu membayar untuk mendapatkan vaksin berkenaan.

Sebelum ini, Indonesia sudah membelanjakan AS$45 juta (kira-kira RM182 juta) bagi membeli vaksin Covid-19 daripada China pada tahun lalu. Pada fasa pertama, 1.2 juta dos vaksin akan tiba di negara itu dan akan digunakan pada awal 2021.

Fasa berikutnya bakal menyaksikan 1.8 juta dos dihantar pada Januari depan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: December 15, 2020 @ 11:13am
    d