Asia

Mufti beri kebenaran

Oleh Agensi

Singapura: Mufti Singapura menggesa masyarakat Islam di negara ini mengambil suntikan vaksin Covid-19 sebagai sebahagian sumbangan kepada masyarakat umum.

Malah, beliau juga menasihatkan agar tidak perlu risau atau ragu-ragu kerana garis panduan agama adalah jelas dalam perkara ini.

Mufti Singapura, Dr Nazirudin Mohd Nasir berkata, langkah kerajaan membenarkan pengambilan vaksin Covid-19 untuk rakyat beragama Islam tanpa bimbang mengenai bahan yang digunakan adalah keputusan eksekutif dibuat mufti republik itu berdasarkan keadaan semasa.

Walaupun panduan keagamaan lazimnya dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa, keputusan berhubung vaksin Covid-19 itu adalah arahan terus dari pejabat mufti.

"Sebaik saja vaksin ini didapati di Singapura, saya menggesa masyarakat Islam di sini mengambil suntikan itu sebagai sebahagian daripada sumbangan kita kepada masyarakat umum.

"Tidak perlu risau atau ragu-ragu kerana garis panduan agama adalah jelas dalam perkara ini," katanya dalam temu bual dengan media di Hab Islamik Singapura seperti dilaporkan Straits Times.

Katanya, keutamaan segera adalah melindungi nyawa dan memastikan keselamatan semua pihak, sekali gus membolehkan semua kegiatan keagamaan dan sosial berjalan seperti biasa.

"Kita tahu bahawa vaksin ini mampu membantu kita mencapai semua sasaran itu dan kembali kepada kehidupan seperti biasa.

"Saya menyedari penduduk beragama Islam di serata dunia was-was dengan bahan digunakan dalam vaksin ini terutama mengenai aspek halal haram membabitkan sumber berasal daripada babi.

"Mereka prihatin dan ragu-ragu, apakah boleh ubatan seumpama itu diambil dan fatwa ini dikeluarkan bagi meredakan kebimbangan itu," katanya.

Ahad lalu, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) mengeluarkan irsyad atau panduan keagamaan yang menggesa umat Islam menerima suntikan vaksin Covid-19 kerana ia sudah mendapat kebenaran selain disahkan selamat dan berkesan.

Menteri Hal Ehwal Islam, Masagos Zulkifli dalam paparan di Facebook mengalu-alukan panduan Muis dan menggalakkan umat Islam mendapatkan suntikan itu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: December 16, 2020 @ 6:31am
    d