Asia

Tokyo bergelut peningkatan kes Covid-19

Oleh AFP

Tokyo: Hospital di Tokyo kini bergelut untuk meneruskan penjagaan rutin terhadap pesakit berikutan peningkatan mendadak kes Covid-19.

Bandar berkenaan menaikkan tahap tekanan perkhidmatan perubatan ke peringkat keempat dalam sistem amaran Covid-19 buat pertama kalinya.

"Kita perlu mengenal pasti krisis ini. Virus ini tidak mempunyai kalendar. Ia boleh meningkat bila-bila masa," kata Gabenor Yuriko Koike.

Setakat ini Jepun masih belum melaksanakan perintah berkurung yang ketat dan hanya wabak kecil berlaku berbanding negara lain, dengan jumlah 187,000 jangkitan dan 2,700 kematian.

Namun, dengan peningkatan kes, minggu ini Perdana Menteri, Yoshihide Suga menggesa warga Jepun menimbang semula rancangan untuk bercuti dan menghentikan kempen pelancongan domestik.

Hari ini, Tokyo mencatatkan 822 kes baharu, memecahkan rekod sendiri untuk kali kedua dan merekodkan peningkatan ketara berbanding sekitar 600 kes baharu dicatatkan setiap hari beberapa minggu lalu.

Koike memberi amaran bahawa bandar berkenaan mungkin berdepan 1,000 kes sehari sekiranya jangkitan berada pada kadar semasa.

Sejak akhir November, perniagaan yang membabitkan alkohol diminta untuk menutup operasi lebih awal dan penduduk Tokyo digalakkan bekerja dari rumah, walaupun cadangan itu tidak membawa mekanisme penguatkuasaan.

Tokyo mempunyai dua sistem amaran Covid-19 yang mana satu daripadanya adalah untuk tahap penularan, yang dinaikkan ke tahap maksimum bulan lalu.

Kejohanan Olimpik akan bermula pada 23 Julai 2021, dan Koike mengatakan kepada AFP minggu ini bahawa dia melihat "tidak ada keadaan" di mana acara antarabangsa besar-besaran itu akan dibatalkan.

Disiarkan pada: December 17, 2020 @ 9:21pm
d