Asia

Tiada kesepakatan berhubung belanjawan, Parlimen Israel dibubar

Oleh BERNAMA

Baitulmaqdis: Kerajaan perpaduan Israel di ambang kehancuran apabila Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dan Menteri Pertahanan Benny Gantz gagal mencapai kesepakatan mengenai belanjawan negara bagi tahun ini dan 2021.

Netanyahu dikatakan sedang berusaha menangguhkan tarikh akhir bagi mengemukakan belanjawan ke Knesset (parlimen) untuk undian.

Israel mungkin mengadakan pilihan raya awal, berikutan pembubaran parlimen kerana pertikaian mengenai belanjawan, umum Speaker Parlimen Yariv Levin menerusi saluran televisyen pada Selasa, lapor Agensi Berita Sputnik.

Pilihan raya parlimen itu kelak akan menjadi yang keempat dalam tempoh dua tahun.

Menurut laporan, pilihan raya baharu dijangka diadakan pada 23 Mac 2021, kerana ia harus diadakan tiga bulan selepas pembubaran Knesset.

Terdahulu pada Selasa, semasa berucap di parlimen, Netanyahu menyalahkan saingan politiknya Gantz dari parti Biru dan Putih berikutan krisis politik yang berlaku.

"Saya rasa sepatutnya pada masa sekarang kita cari kekuatan untuk bersatu bagi cari jalan supaya pilihan raya tidak perlu diadakan," kata Netanyahu.

Dilaporkan, parti konservatif Likud pimpinan Netanyahu, yang mengawal kewangan kerajaan, menolak membentangkan belanjawan, melanggar perjanjian disepakati dengan Gantz, menjadikan ia alasan untuk menjatuhkan kerajaan.

Mengulas mengenai pilihan raya awal itu, Netanyahu menerusi Twitter menyuarakan harapannya untuk memperoleh kemenangan bersama parti Likud.

Netanyahu dan Gantz membentuk kerajaan perpaduan pada Mei, susulan gagal membentuk pemerintahan bersama selepas tiga kali pilihan raya, dengan syarat jawatan perdana menteri mengikut penggiliran.

Gantz sepatutnya menggantikan Netanyahu tahun depan.

Disiarkan pada: December 23, 2020 @ 1:13pm
d