Asia

YouTuber dikecam kerana beri ulasan palsu

Oleh Agensi

Seoul: Sebuah restoran terkenal di Daegu, Korea Selatan terpaksa ditutup gara-gara kecaman diterima daripada warganet susulan ulasan negatif seorang YouTuber mengenai makanan di situ.

Isu itu turut memberi kesan kepada YouTuber berkenaan yang dikenali sebagai Hayan Tree sehinggakan jumlah pengikut saluran YouTubenya yang sebelum ini 700,000, berkurangan menjadi 645,000.

Oddity Central melaporkan, kontroversi timbul selepas saluran YouTube Hayan Tree memuat naik video ulasan mengenai salah satu menu iaitu ketam diperap dengan sos soya ditawarkan di reatoran itu, pada 7 Disember lalu.

Menerusi video itu, YouTuber berkenaan mengeluarkan kenyataan restoran itu menghidangkan makanan yang tidak habis dijual kepada pelanggan.

Video itu menjadi tular dalam tempoh yang singkat dan meraih sejuta tontonan hingga menyebabkan restoran berkenaan terpaksa ditutup beberapa hari kemudian.

" Dalam tempoh kurang dua hingga tiga jam selepas video dimuat naik di YouTube, kakitangan kami tampil menjelaskan situasi sebenar dan memberi jaminan menunjukkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sebagai bukti.

"Namun, komen itu disekat jadi tidak dapat dilihat warganet," kata pemilik restoran kepada The Korea Herald.

Rakaman CCTV itu jelas menunjukkan 'nasi dimaksudkan' datang dari pinggan digunakan YouTuber berkenaan sebelum ia ditambah.

Pemilik restoran itu dilaporkan sudah menghantar petisyen di laman web Cheong Wa Dae dalam usahanya untuk meminta pihak berkuasa campur tangan supaya usahawan lain tidak menerima nasib sama.

"Saya benar-benar kecewa dengan apa yang berlaku dan mahu tahu ada atau tidak, undang-undang untuk menghalang YouTuber yang lebih menakutkan daripada wabak Covid-19.

"Petisyen itu juga dibuat supaya adanya undang-undang dan peraturan yang membolehkan individu bekerja sendiri fokus dengan perniagaan ," katanya.

Dalam pada itu, YouTuber terbabit mengakui kesilapannya dan menarik semula kata-kata negatif dikeluarkan selain membuat permohonan maaf menerusi satu video dimuat naik di saluran YouTube Hayan Tree.

Namun, semuanya sudah terlambat.

"Saya memohon maaf kepada pemilik restoran kerana merakam video sebegitu tanpa memikirkan kesannya.

"Saya sepatutnya memberi ulasan dengan fakta yang tepat dan memohon maaf atas keterlanjuran itu," katanya.

Isu itu menimbulkan perbalahan dalam kalangan warganet yang menyifatkan pengaruh media sosial sangat besar tetapi kurang penguatkuasaan undang-undang untuk mengawal kandungan platform itu.

Disiarkan pada: December 26, 2020 @ 12:12pm
d