Asia

Rajinikanth tak jadi sertai politik

Oleh AFP

Chennai: Bintang filem India, Rajinikanth mengumumkan pembatalan penyertaannya dalam politik dan menyifatkan masalah kesihatannya sebagai 'amaran daripada Tuhan'.

Pengumuman itu dibuat sehari selepas hero filem aksi Tamil itu keluar dari hospital selepas dirawat kerana masalah tekanan darah tinggi.

Rajinikanth, seorang daripada pelakon Asia yang mendapat bayaran tinggi, pada awal Disember lalu mengumumkan bahawa dia akan melancarkan parti politiknya dalam usaha membawa 'kerajaan bebas rasuah' di negeri kelahirannya, Tamil Nadu.

Namun, melalui kenyataan yang disiarkan di Twitter, dia mengakui bahawa rancangan itu tidak dapat diteruskan.

Rajinikanth yang berdepan beberapa masalah kesihatan berkata, kebimbangannya itu mungkin 'amaran daripada Tuhan'.

"Saya memohon maaf kerana tidak dapat melancarkan parti politik ini.

"Saya akan berkhidmat dengan rakyat dengan apa saja cara yang saya mampu, tanpa perlu menyertai politik," katanya dalam surat yang ditulis dalam bahasa Tamil.

Katanya, dia tidak mahu memulakan kempen besar-besaran dan kemudian menghentikannya setengah jalan.

Pada 2017, Rajinikanth pernah berkata kepada peminatnya bahawa dia mahu menyertai politik, namun dia membiarkan mereka ternanti-nanti sehinggalah pengumuman rasmi pada awal bulan ini.

Pelakon berkenaan membuktikan 'kuasa' politiknya pada 1996 apabila dia mengajak peminatnya menentang kerajaan Tamil Nadu, yang kemudiannya kalah dalam pilihan raya.

Rajinikanth masih meneruskan kerjaya dalam bidang filem walaupun berdepan masalah kesihatan.

Dia baru saja menjalani penggambaran filem terbarunya di Hyderabad sebelum dimasukkan ke hospital minggu lalu.

Disiarkan pada: December 29, 2020 @ 6:47pm
d