Asia

Jack Ma hilang?

Oleh Agensi

Beijing: Pengasas Alibaba dari China, Jack Ma dilaporkan sudah lebih dua bulan tidak kelihatan di khalayak ramai.

Hartawan itu juga gagal muncul dalam episod akhir program realiti televisyen miliknya, Africa's Business Heroes.

Ma sepatutnya menjadi hakim tetapi digantikan dengan seorang eksekutif Alibaba pada episod final yang berlangsung pada November lalu, lapor Daily Telegraph UK.

Wajahnya turut dipadam dari laman sesawang itu.

Jurucakap Alibaba mengatakan Ma tidak dapat hadir ke program itu sebagai juri kerana 'berlaku pertindihan jadual', menurut Financial Times.

Satu daripada entiti perniagaan Ma, Ant Group kini dalam pemantauan Beijing susulan kenyataan kontroversinya di Shanghai pada 24 Oktober yang mengkritik sistem peraturan China kerana dikatakan menyekat inovasi.

"Sistem kewangan hari ini adalah warisan Zaman Industri (tradisional).

"Kita perlu menyediakan sistem baru untuk generasi akan datang dan orang muda. Kita perlu mereformasi sistem sedia ada," kata Ma dalam ucapannya ketika itu.

Seminggu selepas itu, IPO Ant Group digantung atas alasan beberapa isu membabitkan persekitaran pengawalseliaan teknologi kewangan.

Pihak berkuasa China melancarkan siasatan anti monopoli terhadap Alibaba pada penghujung Disember lalu termasuk meminta Ant Group menyusun semula operasinya.

Ciapan terakhirnya di Twitter adalah pada 10 Oktober tahun lalu.

Disiarkan pada: January 5, 2021 @ 8:47am
d