Asia

Kanak-kanak 6 tahun antara 11 maut dihempap tanah

Oleh AFP

Jakarta: Kanak-kanak lelaki berusia enam tahun antara 11 individu dilaporkan terkorban dan puluhan yang lain masih hilang dalam kejadian tanah runtuh yang berlaku di wilayah Jawa Barat, hari ini.

Jurucakap Agensi Menyelamat Bandung, Seni Wulandari berkata, hujan lebat sejak petang semalam dipercayai antara punca kepada berlakunya runtuhan di Bandar Sumedang, yang mana menimbus penduduk di kawasan berkenaan.

"Kami masih mengira jumlah mangsa sebenar yang hilang selepas berlaku runtuhan kedua yang menghempap penduduk dan pasukan penyelamat ketika menyertai operasi mencari mangsa dalam tanah runtuh pertama," katanya.

Seni berkata, setakat ini, sekurang-sekurangnya seorang mangsa ditemui selamat namun keadaannya parah.

"11 individu termasuk kanak-kanak lelaki maut dalam insiden itu," katanya.

September tahun lalu, sekurang-kurangnya 11 orang juga dilaporkan maut akibat tanah runtuh di Kalimantan manakala beberapa bulan sebelumnya, puluhan mangsa terkorban dalam kejadian tanah runtuh di Sulawesi.

Agensi bencana Indonesia menganggarkan seramai 125 juta rakyat negara itu atau hampir separuh populasinya tinggal di kawasan berisiko berlaku tanah runtuh.

Disiarkan pada: January 10, 2021 @ 9:43pm
d