Asia

Korea Selatan hantar kapal bantu SAR

Oleh BERNAMA

Seoul: Korea Selatan, hari ini menghantar sebuah kapal untuk membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) susulan nahas udara membabitkan pesawat komersial Sriwijaya Air yang terhempas di perairan Kepulauan Seribu, Jakarta, lapor Agensi Berita Yonhap.

Kapal seberat 12 tan dilengkapi sistem dan peralatan canggih untuk menjalankan misi mencari di bawah laut itu dijadual tiba lewat Isnin, menurut kenyataan Kementerian Laut dan Perikanan.

Kementerian berkata kapal itu dihantar susulan permintaan kerajaan Indonesia.

"Kami mengucapkan takziah. Kami merancang untuk memberikan bantuan kemanusiaan kepada kerajaan Indonesia berdasarkan permintaan," tambah kenyataan itu.

Pesawat Boeing 737-500 yang membawa 62 penumpang dan anak kapal itu dilaporkan terputus hubungan selepas berlepas dari Lapangan Terbang Soekarno Hatta, Jakarta, pada 2.36 petang waktu Indonesia Barat, Sabtu lalu.

Kontak terakhir pesawat itu dengan menara kawalan udara adalah pada 2.40 petang waktu Indonesia Timur.

Pesawat itu dijadual tiba di Pontianak, pada 3.15 waktu Indonesia Timur (4.15 waktu Indonesia Barat).

Disiarkan pada: January 11, 2021 @ 3:55pm
d