Asia

Tiktok punya pasal!

Oleh Agensi

Karachi: Niat dua rakan merakam video dengan memegang sepucuk pistol dalam aplikasi TikTok berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka parah terkena tembakan, pada Rabu.

Jurucakap polis, Ibrahim Hyderi berkata, kejadian berlaku di Umar Colony apabila dua lelaki terbabit mahu merakam video dalam aplikasi sosial popular itu.

Menurutnya, seorang daripada mereka yang memegang pistol secara tidak sengaja tertarik picu senjata api itu ketika rakaman.

Lelaki yang cedera kemudian dikejarkan ke hospital Jinnah untuk rawatan lanjut.

Pasukan perubatan mengesahkan mangsa dalam pemantauan lanjut kerana masih dalam keadaan kritikal, lapor Geonews.

Polis berkata, rakan mangsa yang terkejut dengan kejadian itu kemudian terus menghilangkan diri bersama pistol yang digunakan dalam kejadian.

Kini, polis sedang giat mengesan suspek untuk membantu siasatan.

Kejadian serupa berlaku November lalu apabila seorang lelaki maut ketika melakukan rakaman sama.

Lelaki yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Gulshan-e-Maymar merakam aksi memegang pistol.

Lelaki itu kemudian mengisi peluru sebelum mengacukan pistol pada dada dan menarik picu.

Akhirnya, aksi itu meragut nyawanya, tetapi ahli keluarganya pula enggan membuat bedah siasat atas kematian mangsa.

Disiarkan pada: January 15, 2021 @ 6:31am
d