Asia

Petugas redah sungai kebumi mangsa

Oleh Agensi

Jakarta: Pasukan petugas khas Covid-19 di Yogjakarta menyeberangi sungai untuk membantu pengebumian seorang mangsa disyaki pesakit Covid-19.

Dalam satu video di akaun Twitter Tim Reaksi Cepat BPBD DIY kelihatan 10 petugas lengkap mengenakan alat pelindung diri (PPE) membawa keranda melintas sungai berkenaan.

CNN Indonesia melaporkan, Kakitangan Unit Operasi Pasukan Sokongan Pasukan Petugas DIY Covid-19 Endro Sambodo berkata, proses pengebumian dilakukan mengikut protokol kesihatan atas permintaan Hospital Dr Sardjito.

"Mangsa yang juga seorang wanita berusia 41 tahun dilaporkan meninggal dunia pada tengah malam 12 Januari lalu dan dikebumikan keesokan harinya.

"Atas permintaan hospital mangsa dikebumikan dengan protokol kesihatan kerana meninggal dunia atas sebab suspek atau pesakit Covid-19, belum dapat disahkan," katanya.

Endro menjelaskan, proses menuju kawasan pengebumian di Jamblangan Puguh, Banjaroyo itu memang melalui pelbagai halangan.

"Petugas memilih jalan sungai yang lebih dekat dari kawasan kebumi. Membawa jenazah seperti ini, kami mempertaruhkan keselamatan pasukan kami dengan sewajarnya.

"Jika menggunakan jalan sungai sekitar 200 meter, kalau melalui jalan lain, berpusing sekitar tiga kilometer menaiki ambulans atau satu kilometer jalan kaki," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: January 17, 2021 @ 6:10am
    d