Asia

Terbunuh patah balik ambil telefon bimbit

Oleh Agensi

Jakarta: Dia sempat keluar dari rumahnya ketika runtuhan akibat gempa bumi yang berlaku di Mamuju di Sulawesi Barat, kelmarin.

Namun, tindakannya berpatah balik masuk ke rumahnya itu semata-mata mahu mengambil telefon bimbit mengundang padah apabila dia dihempap runtuhan batu sebelum ditemui maut di lokasi kejadian.

Kompas melaporkan insiden pilu kematian wanita dikenali sebagai Gita Sutriani dalam bencana alam itu dikongsikan bapanya, Sutrisno.

Sutrisno berkata, anaknya itu berjaya keluar dari rumah sebaik gempa bumi berlaku.

"Dia bagaimanapun kembali semula ke dalam rumah untuk mengambil telefon bimbitnya. Dia tertimbus dalam runtuhan dan meninggal dunia.

"Runtuhan batu jatuh tepat di kepala Gita yang meragut nyawanya," katanya memaklumkan Gita tertidur ketika gempa bumi kedua berlaku dan terjaga disebabkan getaran kuat di kawasan berkenaan sebelum dia berlari keluar dari rumah.

Gita yang tinggal di Kecamayan Simboro Mamuju, bercerita mengenai gempa pertama di wilayahnya pada ayah.

"Kelmarin (Khamis) sewaktu gempa pertama, dia telefon saya. Dia beritahu mengenai gempa di Mamuju.

"Jadi saya cakap hati-hati, jangan tinggal di dalam rumah. Lebih baik di luar dulu," katanya berpesan kepada Gita.

Katanya, Gita memaklumkan rumahnya retak akibat gempa yang berlaku pada kali pertama.

"Dia beritahu tiada apa-apa, cuma flatnya retak," kata Sutrisno.

Disiarkan pada: January 17, 2021 @ 6:10am
d