Asia

Pengantin lelaki tak bawa mas kahwin, pernikahan dibatalkan

Oleh Agensi

Jakarta: Hari bahagia buat pasangan kekasih di Jawa Barat untuk mendirikan rumah tangga musnah disebabkan pengantin lelaki terlupa membawa mas kahwin.

Suara.com semalam melaporkan, video pasangan pengantin dari Bandar Bekasi itu tular di akaun Facebook Official Trans7.

Laporan itu mengatakan, mengikut persetujuan kedua-dua belah pihak, pengantin lelaki berjanji membawa mas kahwin berupa emas seberat 10 gram bersama wang tunai sebagai mas kahwin.

Namun, ketika pasangan itu sudah bersiap sedia di hadapan jurunikah, dua perkara itu tidak disertakan sekali.

Menurut bapa pengantin perempuan dikenali sebagai Tinggal, perkahwinan itu terpaksa dibatalkan selepas bakal menantunya itu memungkiri janjinya.

"Lelaki ini berjanji memberikan mas kahwin berupa emas seberat 10 gram kepada bakal isterinya. Sekarang kami sudah malu jadi batalkan sahaja pernikahan ini," katanya.

Manakala, pengantin perempuan yang dikenali sebagai Dewi berkata, dia hanya menurut arahan keluarganya dan setuju pernikahan tidak diteruskan.

"Tidak mengapa, batalkan sahaja," katanya.

Akibat pembatalan saat akhir itu, timbul kekecohan akibat pertengkaran antara dua keluarga itu.

Pertengkaran itu berjaya dileraikan apabila pihak polis tiba di lokasi perkahwinan.

Disiarkan pada: January 17, 2021 @ 10:38am
d