Asia

56 ditemukan mati, ratusan masih hilang

Oleh AFP

Jakarta: Angka kematian disebabkan gempa bumi di Pulau Sulawesi, Indonesia hari ini meningkat kepada 56 orang manakala ratusan yang lain dipercayai masih hilang.

Pihak berkuasa berkata, pasukan mencari dan menyelamat bertungkus-lumus mencari individu yang berkemungkinan terselamat dalam runtuhan berkenaan.

Gempa 6.2 magnitud itu menyebabkan ribuan penduduk hilang tempat tinggal malah insiden berkenaan juga meranapkan hospital dan pusat membeli belah di kawasan itu.

Pihak berkuasa tempatan mengesahkan jumlah kematian sebanyak 56 orang setakat ini dan memberitahu jumlahnya dipercayai akan meningkat.

Bagaimanapun, pihak berkuasa tidak memaklumkan angka sebenar mangsa yang dilaporkan hilang. Begitu juga dengan angka mangsa yang sudah berjaya diselamatkan.

Penduduk setempat memaklumkan, mereka kekurangan makanan, selimut dan bantuan lain yang diperlukan selain tidak mampu pulang ke rumah selepas kediaman musnah selain bimbang berlakunya gempa susulan.

"Lebih baik berlindung sebelum sesuatu yang lebih buruk terjadi," kata penduduk Mamuju Abdul Wahab, yang berlindung di khemah bersama isteri dan empat anaknya, termasuk seorang bayi.

"Kami berharap pemerintah dapat segera memberikan bantuan seperti makanan, ubat-ubatan dan susu untuk anak-anak," katanya.

Bimbang akan tercetusnya Covid-19 di kem yang sesak, pihak berkuasa mengatakan bahawa mereka berusaha untuk memisahkan kumpulan berisiko tinggi dan rendah.

Pusat gempa adalah 36 kilometer (22 batu) selatan Mamuju.

Disiarkan pada: January 17, 2021 @ 11:07am
d