Asia

Vaksin Covid-19: Rakyat Malaysia di Singapura antara terima suntikan

Oleh BERNAMA

Singapura: Sejumlah rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura sudah menjadi antara penerima suntikan vaksin Pfizer BioN Tech di negara berkenaan.

Mereka yang sudah menerima suntikan vaksin berkenaan, kebanyakkan bekerja dalam sektor yang diberikan keutamaan untuk menerima vaksin, di republik itu.

Sebahagian daripada mereka sudahpun berkongsikan pengalaman menerima suntikan di Facebook Malaysian-Singapore Border Crossers, yang kini mempunyai hampir 82,000 ahli.

Imra Astata Ibrahim yang bekerja dalam sektor marin berkata, beliau menerima suntikan vaksinnya yang pertama pada 13 Januari dan akan menerima suntikan kedua selepas 21 hari.

Ketika dihubungi Bernama, Imra Astata, 40, yang menyewa di Jurong West di sini berkata, beliau tidak teragak-agak untuk menerima suntikan vaksin tersebut bersama 10 lagi rakan dari Malaysia.

Malah, bapa kepada tiga cahaya mata itu berpandangan yang dengan mengambil suntikan berkenaan, keadaan akan menjadi lebih mudah untuknya berulang-alik ke Johor seperti sebelum ini.

"Siapa tahu, mungkin akan ada satu persefahaman antara kedua negara, bagi memudahkan pergerakan untuk pekerja yang sudah menerima vaksin ini," katanya.

Imra Astata kembali ke republik itu untuk bekerja pada 24 September lalu, selepas langkah-langkah memperketatkan pergerakan antara kedua-dua sempadan negara itu diperkenalkan pada Mac tahun lalu, bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

Ketika ditanya jika terdapat sebarang kesan sampingan selepas penerimaan vaksin tersebut, Imra Astata berkata, sebelum menerima suntikan itu, beliau dan rakan-rakannya sudah dimaklumkan mengenai kemungkinan adanya kesan sampingan.

"Setakat ini, saya dan rakan-rakan masih sihat selepas mengambil suntikan. Hanya pada hari menerima suntikan, saya rasa sedikit kebas dan sakit di tempat suntikan," kata Astata yang berasal dari Johor.

Kerajaan Singapura memperuntukkan semua rakyat Singapura dan penduduk jangka panjang di negara itu, untuk menerima vaksin sebelum akhir 2021, jika tiada gangguan yang tidak terjangka dalam penghantaran vaksin berkenaan.

Singapura menerima penghantaran pertama vaksin Pfizer-BioNTech Covid-19 pada 21 Disember tahun lalu.

Bagi memastikan ketersediaan vaksin dan membolehkan Singapura mencapai kadar yang lebih tinggi pemberian vaksin kepada penduduk republik itu, vaksin berkenaan akan diberikan secara percuma.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Singapura sehingga 12 Januari 2021, lebih daripada 6,200 individu sudah menerima dos pertama vaksin mereka di negara itu.

Menurut MOH, jumlah itu dijangka akan meningkat dengan banyak dalam minggu yang akan datang, apabila mereka mempertingkatkan lagi operasi pemberian vaksin mereka.

Sejajar dengan saranan daripada Jawatankuasa Pakar mengenai Vaksinasi Covid-19 untuk mengutamakan vaksinasi kepada kumpulan yang paling berisiko, Singapura memulakan aktiviti vaksinasi kepada petugas bidang kesihatan secara progresif bermula 30 Disember 2020.

Disiarkan pada: January 17, 2021 @ 1:16pm
d