Asia

Habis RM8,090 dalam 2 hari

Oleh Agensi

Manila: Bagi peminat permainan, sudah tentu mereka menyedari ada ketikanya pembelian permainan dalam talian (online game) akan mengakibatkan kerugian.

Namun, tidak bagi seorang kanak-kanak berusia lapan tahun yang tidak sengaja membelanjakan kad kredit bapanya untuk pembelian permainan jenis itu membabitkan AS$2,000 (kira-kira RM8,090).

Kisah itu dikongsikan ibu bapa kanak-kanak itu, Julmar Grace Locsin dan Jay Locsin di Facebook selepas seorang daripada anak kembar mereka bermain permainan itu di telefon bimbit.

Dalam masa hanya dua hari, kanak-kanak itu menghabiskan wang berkenaan untuk membuat pembelian dalam talian bagi permainan berkenaan.

Grace berkata, perkara itu tidak diketahui sehinggalah dia memeriksa penyata bank.

"Salah seorang dari anak kembar kami tanpa diketahui sudah membeli permainan video dan menghabiskan RM8,090 dalam masa hanya dua hari.

"Mujur saya periksa penyata bank hari ini, jika tidak kami tidak ada apa lagi untuk dibelanjakan," katanya.

Menurutnya, kad kredit suaminya itu dihubungkan dengan akaun Google Play kerana ada masanya mereka membayar untuk menonton filem secara dalam talian.

Mereka kemudian bertanyakan hal itu kepada anaknya sebelum dia meminta maaf di atas apa yang berlaku.

Biarpun menanggung kerugian, pasangan itu tidak menghalang anak mereka daripada menggunakan gajet seperti mana banyak dilakukan oleh ibu bapa di Asia Tenggara.

Sebaliknya, mereka hanya memberikan amaran tegas kepada anak mereka supaya tidak mengulangi perbuatan itu.

Disiarkan pada: January 19, 2021 @ 6:00am
d