Asia

Gali lubang selamatkan pelombong terperangkap

Oleh AFP

Beijing: Pasukan penyelamat China menggali beberapa lubang baharu untuk menyelamatkan 12 daripada 22 pelombong emas yang terperangkap di bawah tanah selama sembilan hari tanpa makanan dan diancam kenaikan paras air.

Dalam kejadian di lombong Hushan dekat Yantai, wilayah Shandong itu, pekerja lombong berkenaan terperangkap di kedalaman 540 meter (m) selepas berlaku letupan yang merosakkan pintu masuk.

Selepas beberapa hari tanpa sebarang petunjuk, beberapa pelombong yang terperangkap berjaya menghantar nota yang diselitkan pada dawai besi yang dijatuhkan penyelamat ke dalam lombong itu pada Ahad.

Nota tulisan tangan merayu bantuan dan memberitahu puluhan mereka masih hidup tetapi kawasan mula digenangi air serta mereka sangat memerlukan bekalan ubat, memandangkan ada yang tercedera.

Panggilan seterusnya dengan pelombong itu mendedahkan 11 daripada mereka berada di satu lokasi berkedalaman 540m, manakala yang lain terperangkap di lebih 100m jauhnya dan keadaan mereka tidak diketahui.

Pasukan penyelamat sudah menggali tiga laluan dan menghantar makanan, ubat, kertas dan pensil kepada pelombong itu, bagaimanapun usaha menyelamat sangat perlahan, menurut wakil pihak berkuasa tempatan, Chen Fei.

"Batu mengelilingi lombong kebanyakannya granit, ia sangat keras yang menyebabkan proses menyelamat perlahan. Juga ada air yang memasuki lombong yang boleh membahayakan pekerja terperangkap," katanya.

Chen juga memberitahu bekalan makanan yang dihantar hanya mampu bertahan untuk dua hari.

Pasukan penyelamat menebuk tiga lagi saluran hari ini menurut peta penyelamatan yang disiarkan pihak berkuasa Yantai di akaun Weibo, selain memasang rangkaian telefon untuk berhubung.

Insiden letupan lombong adalah kejadian biasa di China, susulan pihak industri yang mempunyai rekod keselamatan dan penguatkuasaan yang lemah.

Pada Disember lalu, 23 pelombong maut selepas terperangkap di bawah tanah dalam kejadian di bandar Chongqing, beberapa bulan selepas 16 orang meninggal dunia kerana keracunan gas karbon monoksida akibat terperangkap dalam lombong arang batu.

Disiarkan pada: January 19, 2021 @ 4:07pm
d