Asia

Dipenjara lebih 43 tahun hina keluarga diraja Thailand [METROTV]

Oleh AFP

Bangkok: Wanita Thailand didakwa menghina keluarga diraja Thailand dipenjara lebih 43 tahun, yang disifatkan sebagai hukuman paling berat dikenakan.

Keputusan itu dikeluarkan ketika Thailand meningkatkan penggunaan undang-undang kontroversi terhadap penunjuk perasaan demokrasi, yang tuntutannya termasuk reformasi terhadap sistem monarki.

Walaupun undang-undang itu bertujuan melindungi keluarga diraja dari fitnah, penghinaan atau ancaman, namun seksyen 112 Kanun Keseksaan ditafsirkan secara rutin untuk memasukkan kritikan terhadap monarki.

Pada Selasa, Anchan - yang nama keluarganya dirahsiakan untuk melindungi keluarganya, disabitkan atas 29 tuduhan dan dihukum penjara 87 tahun.

Bagaimanapun, mahkamah mengurangkan hukumannya kerana dia mengaku bersalah, menurut kumpulan Peguam Hak Asasi Manusia Thailand, yang mengendalikan kes fitnah diraja.

Anchan, bekas penjawat awam, pertama kali ditangkap pada tahun 2015 selepas dikaitkan dengan siaran podcast bebas dan dikenali sebagai "DJ Banpodj", pengkritik monarki yang lancang.

Dia pada awalnya ditahan sebelum perbicaraan selama tiga tahun sebelum dibebaskan dengan jaminan.

Sebelum ini, hukuman terpanjang di bawah undang-undang sama dikenakan ke atas seorang lelaki pada 2017 yang menyebabkannya dipenjara selama 35 tahun.

Titipol Phakdeewanich, seorang penganalisis politik dari Universiti Ubon Ratchathani, mengatakan keputusan ke atas Anchan "bermotif politik" untuk menakut-nakutkan aktivis.

Tetapi, dia mengingatkan bahawa pelaksanaan keras seperti itu mungkin menekan semula pemerintah dan "menghancurkan reputasi institusi monarki di dalam dan luar negara".

Menghapuskan undang-undang itu adalah antara tuntutan utama gerakan tunjuk perasaan yang dipimpin oleh pemuda yang masih belum berakhir.

Disiarkan pada: January 19, 2021 @ 6:33pm
d