Asia

Kembar Siam akhirnya 'berpisah'

Oleh Agensi

Karachi: Sepasang suami isteri di Pakistan bagaikan dikurnia kehidupan baharu selepas anak mereka yang juga kembar siam, berjaya dipisahkan menerusi pembedahan yang digambarkan antara paling sukar di dunia.

Bayi istimewa itu, Aman dan Ayan bercantum di bahagian perut dan berkongsi beberapa organ penting ketika dilahirkan pada Mac tahun lalu, keadaan yang jarang berlaku dengan satu daripada 250,000 kelahiran.

Pada awalnya, Shaheen Bibi dan Israr Ahmed pasrah dengan keadaan anak mereka kerana tidak mampu menanggung kos pembedahan yang sangat tinggi.

Namun mereka bernasib baik apabila seorang ahli perniagaan Dubai tampil membantu selepas rayuan yang dibuat Yayasan Antarabangsa Sarim Burney.

Bulan lalu, kembar berkenaan berjaya dipisahkan di Hospital Aga Khan di sini dengan 50 doktor dan kakitangan hospital bertungkus-lumus selama lapan jam untuk pembedahan dianggap paling sukar itu.

Pemegang amanah yayasan terbabit, Sarim Burney memaklumkan Arab News bahawa, pihaknya membantu pasangan berkenaan kerana mereka tidak berkemampuan.

"Apabila kami maklum bahawa terdapat rawatan bersesuaian di Hospital Aga Khan, kami membuat rayuan mengumpul dana di program televisyen dan ia sampai kepada Nasser Hussain Abdullah Lootah," katanya.

Lootah sebelum ini pernah menyumbang untuk pembedahan hampir sama di United Kingdom membabitkan kembar siam perempuan dari wilayah Khyber Pakhtunkhwa, barat laut Pakistan.

Menurut kenyataan media dari hospital, si kembar bercantum di badan dan saling berhadapan, jadi prosedur memisahkan sepenuhnya badan mereka perlu dilakukan.

Disiarkan pada: January 20, 2021 @ 7:59am
d