Asia

China bina pusat kuarantin besar

Oleh Agensi

Beijing: China membina pusat kuarantin besar yang mampu memuatkan 4,000 orang berikutan kebimbangan terhadap wabak Covid-19 yang kembali menular di utara wilayah Hebei.

Seramai 600 pekerja terbabit untuk menyiapkan pusat itu dalam tempoh hanya lima hari dengan mereka bekerja 24 jam di bawah suhu cuaca yang rendah.

Rakaman video pekerja membina fasiliti kecemasan itu pada siang dan malam dikeluarkan syarikat penyiaran tempatan, CCTV.

Pembinaan bermula pada 13 Januari lalu di Zhengding, pinggir bandar Shijiazhuang.

Sebahagian 606 ruangan sudah dilengkapi perabot dan baki 1,173 lagi disiapkan pada Selasa, menurut pihak berkuasa tempatan.

Kem kuarantin itu dibina di atas tanah berkeluasan 44 hektar akan mengasingkan ribuan pesakit dijangkiti wabak.

Pihak berkuasa mengenakan perintah berkurung di bandar utara China untuk mengurangkan penularan wabak yang meletus kembali sejak beberapa minggu ini.

China merekodkan 118 jangkitan baharu pada Selasa dengan 43 kes di wilayah Jilin.

Wilayah Hebei menyaksikan tambahan 35 jangkitan, manakala wilayah Heilongjiang melaporkan 27 kes baharu.

Disiarkan pada: January 21, 2021 @ 6:50am
d