Asia

Makan 30kg oren dalam 30 minit

Oleh Agensi

Beijing: Hanya kerana mahu berjimat tidak mahu membayar caj tambahan bagasi, empat lelaki di China sanggup makan oren 30 kilogram (kg) dalam tempoh setengah jam.

Kejadian itu berlaku di sebuah lapangan terbang di Kunming, wilayah Yunnan, barat daya China.

Yuran bagasi dikenakan untuk 30 kilogram oren itu bernilai 300 yuan (RM187).

Oleh kerana kurang berkemampuan, empat lelaki itu memutuskan memakan oren itu sebelum menaiki penerbangan.

Seorang daripada lelaki itu dikenali sebagai Wang berkata, dia dan rakannya membeli sekotak oren seberat 30 kilogram itu dengan harga 50 yuan saja ketika dalam perjalanan mereka ke Kunming.

Katanya, pihak lapangan terbang mengenakan caj 10 yuan (RM6.24) untuk setiap kilogram bagi kos penghantaran oren itu.

"Oleh kerana cajnya terlalu mahal, saya dan rakan membuat keputusan. Kami duduk dan makan semua oren itu sampai habis dalam tempoh 20 hingga 30 minit.

"Namun, kami alami ulser dalam mulut selepas makan oren terlalu banyak," katanya seperti dilapor portal Global Times.

Bagaimanapun, tindakan nekad empat lelaki itu menjadi bahan lucu warganet yang tidak bersetuju dengan mereka.

Disiarkan pada: January 23, 2021 @ 6:31am
d