Asia

Seramnya...

Oleh Agensi

Sydney: Seorang ibu berdepan situasi menyeramkan selepas mendapati ada individu tidak dikenali tinggal di atas loteng rumahnya selama tiga minggu .

Kejadian berlaku ketika Monica Green dari Rockhampton, Queensland, menyedari sesuatu yang tidak kena di rumahnya.

Ia selepas dia mendapati sistem keselamatan rumahnya tidak berfungsi seperti biasa dan barangan anaknya hilang.

Awalnya dia menganggap ia mungkin kerana rasa bimbang namun selepas pulang daripada janji temuj doktor, dia mendapati ada sesuatu yang berlaku.

Ketika masuk ke dalam rumah, ibu kepada tiga orang anak ini mendapati penyaman udara dipasang, pintu belakang rumahnya terbuka dan nuget ayam sudah dimasak separuh.

New York Post melaporkan, Green memaklumkan perkara itu kepada polis yang kemudiannya mendapati loteng rumahnya terbuka dan ia seperti didiami seseorang.

"Saya rasa seperti ruang peribadi saya diceroboh.

"Saya berasa terkejut, takut. Ia seperti sebuah filem seram," katanya.

Katanya, dia bertanggungjawab memastikan perlindungan kepada anak-anak dan merasakan dirinya sudah gagal.

Green juga percaya individu itu mencuri masuk menerusi loteng, mencuri kunci untuk masuk ke dalam rumah.

Disebabkan itu, dia kini menukar kunci rumahnya.

"Apa yang dilakukan orang ini di dalam rumah ketika saya tiada," katanya kepada media tempatan.

Kes itu masih disiasat pihak berkuasa.

Disiarkan pada: January 24, 2021 @ 10:32am
d