Asia

Kantoi melaram baju majikan di Instagram

Oleh Agensi

Dubai: Seorang pembantu rumah yang sering memperagakan pakaian majikannya dan memuat naik di akaun Instagram miliknya ditahan pihak berkuasa negara itu.

Pembantu rumah warga Filipina didakwa di mahkamah di Dubai kerana mencuri pakaian dan barangan majikannya.

Perbuatan itu terbongkar selepas majikannya melihat satu hantaran Instagram milik pembantu rumahnya memperagakan pakaian milik isterinya.

Gulf News melaporkan, lelaki tempatan berusia 26 tahun memeriksa satu akaun Instagram milik pembantu rumahnya dari Filipina.

Dia melihat wanita itu memakai pakaian milik isterinya dan memberi amaran kepadanya.

"Menerusi akaun Instagram itu, dia memuat naik gambar memakai pakaian yang serupa dengan isteri saya.

"Saya memberitahu isteri saya dan dia mengenali pakaiannya kerana pembantu rumah kami mengambil gambar dalam rumah," kata lelaki itu.

Dia kemudian menggeledah bilik pembantu rumahnya yang berusia 27 tahun itu dan menemui pakaian yang dicuri dan disembunyikan di dalam almari.

"Isteri saya menemui barang curi lain dalam bilik seperti beg tangan, gincu dan kasut dengan keseluruhan barangan bernilai Dh500 (RM551)," katanya.

Polis Dubai kemudian menahan pembantu rumah itu dan merampas telefon bimbitnya.

Ketika disoal siasat, suspek mengaku mencuri dan menyembunyikan barang itu di bilik tidurnya.

Disiarkan pada: January 28, 2021 @ 6:45am
d