Asia

Mengaku positif Covid-19, demi elak saman

Oleh Agensi

Beijing: Sanggup menipu dijangkiti Covid-19.

Itu temberang seorang lelaki di China bagi melepaskan diri dari disaman pihak berkuasa.

Global Times melaporkan, insiden itu berlaku apabila lelaki dari Yancheng, wilayah Jiangsu, timur China itu ditahan polis apabila tidak memakai topi keledar ketika menunggang motosikal.

Dia kemudiannya bertindak menipu polis kononnya dirinya dijangkiti Covid-19 bagi melepaskan diri dari dikenakan sebarang hukuman.

Lelaki itu bernama Hao, dia ditahan pihak berkuasa ketika melakukan kesalahan itu.

Dia turut didapati melanggar peraturan apabila membonceng individu dewasa kerana hanya kanak-kanak berusia bawah 16 tahun saja dibenarkan menjadi pembonceng.

Bagaimanapun lelaki itu tidak mahu menerima saman itu, sambil memaklumkan dia dijangkiti Covid-19.

Terkejut dengan dakwaan itu, polis bertanya kepada Hao sebanyak dua kali bagi pengesahan dan lelaki itu tetap menegaskan dakwaannya itu.

Namun, tembelang Hao terbongkar ketika polis membuat pemeriksaan di jabatan kawalan dan pencegahan epidemik tempatan, dia mengaku hanya berbohong.

Akibat perbuatannya itu, Hao ditahan selama tujuh hari kerana menghalang tugas pasukan polis.

Bagaimanapun, warganet tidak berpuas hati dengan hukuman itu kerana beranggapan masih tidak setimpal.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: January 29, 2021 @ 12:00pm
    d