Asia

Hanya kerana satu kes, Perth laksana sekatan 5 hari

Oleh AFP

Sydney: Perth melaksanakan perintah sekatan selama lima hari selepas pengawal keselamatan di sebuah hotel kuarantin disahkan positif virus Covid-19.

Secara anggaran, kira-kira dua juta penduduk di Perth perlu berada di rumah bermula petang Ahad ini dan begitu juga mereka yang tinggal di Peel dan wilayah barat daya Australia.

Sesi persekolahan yang sepatutnya bermula Isnin ditangguhkan dan penduduk hanya dibenarkan keluar untuk bersenam, keperluan kesihatan, perkhidmatan perlu serta untuk membeli makanan.

Perdana Menteri Australia Barat, Mark McGowan berkata model mereka untuk berhadapan dengan kes Covid-19 adalah dengan cepat dan tegas.

"Ia supaya kami boleh mengawalnya dengan cepat dan tidak menular masuk ke dalam komuniti seperti mana dihadapi negara lain.

"Apa yang kami cuba lakukan adalah 'gangguan' jangka masa pendek bagi mengelakkan 'gangguan' jangka masa panjang.

"Kami berusaha menghancurkan virus ini secepat mungkin," katanya.

Pihak berkuasa percaya lelaki itu dijangkiti virus daripada pengembara yang dikuarantin di sebuah hotel di bandar keempat terbesar di Australia itu.

Pengembara itu mungkin terkena varian baharu virus itu yang dipercayai boleh menular dengan cepat berbanding strain Covid-19 sebelum ini.

Ujian genomik sedang dijalankan untuk menentukan sumber sebenar jangkitan lelaki itu, dan pegawai kesihatan mengatakan bahawa dia mungkin telah mengunjungi lebih dari sedozen lokasi ketika membawa virus itu.

Kafe, bar dan restoran sudah diperintahkan untuk tutup manakala lawatan ke kemudahan kesihatan dilarang dan majlis perkahwinan dibatalkan.

Sekatan ini adalah paling ketat sejak peringkat awal pandemik dengan pelitup muka diwajibkan untuk pertama kali.

Sepanjang tahun 2020 Australia Barat menutup sempadannya hampir sepanjang tahun dan memutuskan hubungan dengan negara lain namun membenarkan penduduknya menikmati kehidupan normal selama berbulan-bulan.

Perintah sekatan selama tiga minggu turut dilaksanakan di Brisbane selepas seorang pembersih hotel dijangkiti varian itu.

Disiarkan pada: January 31, 2021 @ 5:28pm
d