Asia

Bayaran saman bongkar suami curang

Oleh Agensi

Dubai: Kecurangan seorang lelaki terbongkar selepas dia membayarkan saman trafik kekasihnya menggunakan kad kredit milik isteri.

Portal India.com melaporkan kejadian berlaku di Dubai itu menyebabkan isterinya pelik selepas kad kreditnya menunjukkan transaksi mencurigakan.

Wanita itu kemudian meminta pihak bank menyekat sementara kad kredit itu seterusnya melaporkan kejadian kepada polis.

Menyangkakan kad kreditnya dicuri, wanita itu terkejut kerana melihat pembayaran itu dibuat membabitkan saman trafik.

Jurucakap Jabatan Jenayah Siber Dubai, Kapten Abdullah al Shehi berkata, pihaknya melakukan siasatan sebaik menerima laporan daripada seorang wanita.

"Selepas siasatan dilakukan kita dapati kekasih suami wanita itu menggunakan kad kredit berkenaan.

"Soal siasat dilakukan dan wanita berkenaan terkejut kerana dia tidak menyangka kekasihnya sudah berkahwin," katanya.

Menurutnya, pihaknya mengakui mengendalikan kes berkenaan dengan berhati-hati bagi mengelakkan ketegangan berikutan kedua-dua wanita itu tidak mengetahui hal sebenar.

"Isteri tidak tahu kad kreditnya digunakan kekasih suaminya untuk membayar saman manakala wanita itu juga tidak tahu lelaki berkenaan sudah berkahwin," katanya.

Disiarkan pada: February 1, 2021 @ 7:30am
d