Asia

Asyik minta duit wanita maut dipukul suami

Oleh Agensi

Hanoi: Hanya kerana kerap meminta wang untuk persiapan perayaan tahun baharu Vietnam, seorang wanita maut dipukul suaminya sendiri.

Memetik portal eva.vn, Nguyen Thi L, 24, dipukul menggunakan sebatang buluh oleh suaminya, Bu Van N, 40, pada pagi 7 Februari lalu.

Menurut saksi, pasangan itu dilihat bertengkar kerana mangsa meminta wang untuk persiapan sambutan Perayaan Tet.

Akibat tidak tahan didesak isterinya berkali-kali, lelaki itu memukul belakang leher Nguyen menggunakan buluh sampai mati.

Nguyen ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di lantai dapur oleh bapanya, yang pulang ke rumah itu bagi mengambil barang.

Sementara itu, suspek yang melarikan diri berjaya ditahan pihak berkuasa daerah Yen Lac.

Polis berkata, pasangan itu menetap di rumah ibu Nguyen selepas mereka berkahwin.

Katanya, suspek tiada pekerjaan tetap manakala suri rumah itu menjaga tiga anak perempuan mereka dengan yang paling kecil berusia tiga bulan.

Disiarkan pada: February 11, 2021 @ 6:01am
d