Asia

Mangsa dilanda banjir mengemis beli makan

Oleh Agensi

Jakarta: Sudahlah menjadi mangsa banjir, kini terpaksa mengemis pula.

Itu nasib yang berlaku kepada kanak-kanak dan orang dewasa di Karawang, Jawa Barat yang terpaksa meminta sedekah untuk membeli makanan.

Mereka mendakwa bantuan yang diterima daripada kerajaan tidak mencukupi untuk seisi keluarga, lapor Tribunnews.

Individu terbabit dikatakan mengemis di tepi Jalan Ranggagede, tidak jauh dari kawasan penempatan mereka.

Sambil meminta ihsan, kanak-kanak berusia enam hingga sepuluh tahun itu membawa bekas plastik, tin dan kadbod sambil menghulurkannya kepada kenderaan yang melalui kawasan berkenaan.

Kelihatan juga pengemis dewasa turut bersama mereka sambil mengendong anak yang masih kecil.

Seorang mangsa banjir dari Kampung Benteng, Asman, 43, berkata, walaupun ada bantuan makanan diterima, tetapi ia tidak cukup untuk mereka.

Katanya, dia bersama 150 penduduk kampung itu kehilangan penempatan akibat banjir pada, Jumaat minggu lalu.

Bencana itu menyebabkan paras air Sungai Citarum melimpah dan menjejaskan lebih 30 kampung di kawasan itu.

Lebih 8,500 rumah ditenggelami air, manakala lebih 4,000 orang terpaksa tinggal di dalam khemah di tepi jalan.

Disiarkan pada: February 26, 2021 @ 6:00am
d