Asia

Rakyat Malaysia terlepas tali gantung

Oleh BERNAMA

Singapura: Rakyat Malaysia berumur 38 tahun yang terselamat daripada hukuman gantung pada 13 Oktober 2020 selepas Mahkamah Rayuan membebaskannya dari pertuduhan berat berkaitan dadah, akhirnya melangkah keluar dari tahanan sebagai lelaki yang bebas.

Akhbar Straits Times melaporkan bahawa Beh Chew Boo dibebaskan selepas panel hakim yang sama mengetepikan permohonan pihak pendakwa untuk mengenakan empat pertuduhan yang lebih ringan berkaitan dadah terhadap lelaki itu.

Hakim yang terdiri daripada Sundaresh Menon, Tay Yong Kwang dan Steven Chong, membuat keputusan 2-1 yang memihak kepada Beh, menurut akhbar harian itu.

Beh, yang ditahan pada 26 Oktober 2016 atas dakwaan cuba membawa masuk 499.97 gram methamphetamine dari Malaysia di Pusat Pemeriksaan Woodlands, berhadapan dengan lima pertuduhan membawa dadah ke republik itu.

Bagaimanapun pihak pendakwa hanya meneruskan pendakwaan terhadap Beh dengan hanya satu pertuduhan berat, yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman gantung sampai mati.

Beh disabitkan Mahkamah Tinggi dengan kesalahan membawa dadah jenis methamphetamine seberat 499.97 gram dan dijatuhi hukuman mati pada awal tahun 2020.

Beh memasuki Singapura dari Malaysia dengan menunggang motosikal milik rakannya yang didaftarkan di Malaysia, bersama dengan teman wanitanya Ting Swee Ling, yang membonceng motosikal itu.

Dadah yang dirampas mengandungi tidak kurang dari 742.82 gram serbuk hablur, yang selepas dianalisis, ia didapati mengandungi tidak kurang dari 499.97 gram methamphetamine

Disiarkan pada: March 3, 2021 @ 12:12pm
d