Asia

Junta gali kubur seorang penunjuk perasaan

Oleh Agensi

Yangon: Junta tentera Myanmar, menggali semula kubur seorang gadis berusia 19 tahun yang terbunuh ketika menyertai demonstrasi bagi membantah rampasan kuasa di negara itu.

Tindakan itu dipercayai bagi memastikan polis tidak bersalah dalam pembunuhan itu.

Memetik portal CNA, Kyal Sin,19, atau dikenali sebagai Angel yang memakai baju-T 'Everything will be OK', maut selepas ditembak di kepala ketika menyertai tunjuk perasaan itu pada 1 Februari lalu.

Laporan media tempatan mendedahkan, polis, hakim dan doktor menggali kubur wanita itu bagi menjalankan bedah siasat.

Mereka menemui kesan kecederaan di bahagian belakang kepala dan peluru berukuran 0.8 sentimeter pada otak dan mendakwa ia berbeza dengan peluru yang digunakan polis.

Namun, penggalian itu menimbulkan kemarahan daripada orang ramai yang menuduh junta menyembunyikan fakta pembunuhan dilakukan pasukan keselamatan.

Walaupun pihak berkuasa mendedahkan, mereka sudah meminta kebenaran keluarga untuk penggalian kubur mangsa, namun tidak dapat disahkan.

Kyal Sin antara 38 mangsa yang terbunuh pada Rabu lalu dalam usaha pihak berkuasa menghentikan tunjuk perasaan yang berlangsung setiap hari sejak sebulan lalu.

Kematiannya yang juga pertama akibat demonstrasi berkenaan menjadikannya ikon kepada perjuangan rakyat negara itu.

Setakat ini, sekurang-kurangnya 54 orang disahkan meninggal dunia akibat tunjuk rampasan bagi membantah rampasan kuasa di Myanmar.

Pada 1 Februari lalu, tentera Myanmar merampas kuasa selepas menahan Presiden Myanmar Win Myint dan Kaunselor Negara Aung San Suu Kyi.

Ia selepas tentera Myanmar menuduh berlaku penipuan dalam pilihan raya umum November lalu, yang menyaksikan parti pemerintah (NLD) pimpinan Suu Kyi menang besar.

Susulan itu, demonstrasi besar-besaran diadakan di seluruh Myanmar.

Disiarkan pada: March 7, 2021 @ 2:58pm
d