Asia

Wanita mangsa asid akhirnya bertemu jodoh

Oleh Agensi

New Delhi: Selepas menderita hampir sedekad, seorang mangsa serangan asid di India menemui sinar baharu hidupnya apabila bertemu jodoh dengan lelaki yang menerima diri seadanya.

Memetik laporan The Sun, Pramodini Roul, 28, selamat disatukan dengan pasangannya, Saroj Sahoo, 29, di kampung halamannya, Jagatsinhpur, Odisha, 1 Mac lalu selepas mengikat pertunangan pada 2018.

Menariknya, mereka jatuh cinta selepas Saroj kerap mengunjungi rakannya yang juga jururawat hospital tempat mangsa mendapatkan rawatan.

Pramodini berkata, peristiwa hitam yang merosakkan wajah serta penglihatannya tidak menjejaskan kemeriahan majlis perkahwinannya itu yang dihadiri 1,000 tetamu termasuk mangsa serangan asid lain.

"Saya rasa sangat gembira dapat berkahwin dengan Saroj. Dia menyayangi saya seadanya dan selalu memberi semangat untuk saya teruskan hidup dengan bahagia.

"Kali pertama saya dapat melihat wajahnya, pada September lalu, selepas saya menjalani pembedahan pertama pada mata kiri. Ia membuatkan saya jatuh hati dengan kebaikannya," katanya.

Pasangan itu aktif menabur bakti bersama Yayasan Chaanv dalam pemulihan mangsa serangan asid di Odisha.

Pramodini menjadi mangsa serangan asid pada usianya 15 tahun selepas menolak peminangan perkahwinan seorang lelaki.

Disiarkan pada: March 8, 2021 @ 6:05am
d