Asia

Minta bantuan polis cari jodoh!

Oleh Agensi

New Delhi: Minta bantuan polis untuk carikan jodoh. Itu ikhtiar seorang lelaki kerdil di Shamli, Uttar Pradesh, yang buntu untuk mencari calon isteri.

Ketinggian hanya 60 sentimeter memberi masalah buat Azim Mansoori, 26, untuk merealisasikan impiannya bagi mempunyai pasangan hidup.

Bagaimanapun, dia tetap tidak berputus asa apabila cuba mendapatkan bantuan polis untuk membantu misi pencarian jodohnya itu, Selasa lalu.

India Today melaporkan usaha berkenaan bagaimanapun masih tidak berjaya.

Jurucakap polis dari Balai Polis Shamli, Niraj Choudry berkata, pihaknya tidak mempunyai bidang kuasa untuk mencari calon pasangan mana-mana individu.

"Kami hanya membantu jika ada perselisihan di dalam rumah tangga, tapi bukan mencarikan jodoh untuk seseorang," katanya.

Azim bersama kakaknya mengusahakan kedai kosmetik dan keluarganya juga berusaha mencarikan pasangan untuknya.

Ahli keluarganya, Mohammad Naeem berkata, keadaan fizikal Azim yang lemah menyebabkan keluarganya mahu lelaki itu berkahwin dengan wanita yang boleh menjaganya.

"Kami berusaha melamar banyak orang termasuk seorang wanita dari Modarabad dan sedang dalam perancangan untuk berjumpa dengannya," katanya.

Azim dikatakan sudah berusaha mencari wanita untuk dijadikan isteri, sejak lebih lima tahun lalu.

Dia juga dilaporkan terpaksa berhenti sekolah sebelum ini akibat diejek dan dihina kerana keadaan fizikalnya.

"Saya tidak dapat tidur malam. Adakah saya tidak memiliki sesiapa pun untuk berkongsi hidup?" katanya.

Disiarkan pada: March 16, 2021 @ 6:30am
d