Asia

Pernah dipulau kerana sinetron

Oleh Agensi

Jakarta: Seorang wanita dari Indramayu, Jawa Barat, Indonesia mendakwa pernah dipulaukan jiran dan segelintir rakan sekerja hanya kerana dia tidak menonton sinetron atau drama bersiri popular di negara itu bertajuk Ikatan Cinta.

Tribunews melaporkan Sairoh, 40, pada awalnya tidak mengikuti drama berkenaan.

Katanya, ia menyebabkan dia ketinggalan kerana jiran dan rakan sekerjanya sering bersembang mengenai drama berkenaan.

Malah, drama itu sentiasa menjadi topik utama perbualan jiran dan rakannya tidak kira pada waktu rehat atau sebelum mereka menunaikan solat.

"Mereka sering bercakap mengenai watak utama drama berkenaan iaitu Aldebaran dan Andin sedangkan saya tidak tahu. Jadi saya pun nekad luangkan masa menonton drama berkenaan," katanya.

Selepas kali pertama menonton, Sairoh 'ketagih' hingga tidak boleh terlepas menyaksikan drama itu setiap hari.

Sairoh juga mengakui menjadi peminat bagi watak Aldebaran yang dilakonkan Arya Saloka dan Andin lakonan Amanda Manopo.

Berikutan itu, Sairoh tidak lagi dipulaukan jiran juga rakan sekerjanya.

"Kebiasaannya, saya akan menukar ke saluran lain pada waktu iklan disiarkan.

"Namun, drama Ikatan Cinta membuatkan saya tidak berganjak dan sanggup makan di hadapan televisyen selain berebut dengan anak asalkan dapat menontonnya.

"Disebabkan terlalu obses, saya pernah membayangkan Aldebaran menjadi suami saya kerana ketampanannya, malah saya suka gandingannya dalam drama itu iaitu Andin," katanya.

Disiarkan pada: March 30, 2021 @ 6:31am
d