Asia

Dua bekas pegawai kerajaan etnik Uighur dihukum mati

Oleh AFP

Beijing: Dua bekas pegawai kerajaan daripada etnik Uighur di wilayah Xinjiang dihukum mati kerana terbabit 'aktiviti pemisah', menurut mahkamah negara itu.

Shirzat Bawudun, bekas ketua jabatan kehakiman dijatuhkan hukuman mati yang ditangguhkan untuk tempoh dua tahun, kerana 'memecah-belahkan negara'.

Bawudun didakwa berkonspirasi dengan organisasi pengganas, menerima rasuah dan melaksanakan aktiviti pemisah.

Bawudun didapati bersalah bekerjasama dengan Pergerakan Islami Turkestan Timur - yang dikategorikan sebagai kumpulan pengganas oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) - selepas mengadakan pertemuan dengan individu penting dalam kumpulan itu pada 2003.

Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan kumpulan itu daripada senarai pengganas November lalu, atas alasan tiada bukti bahawa kumpulan itu masih wujud.

Bawudun juga didakwa memberikan 'maklumat kepada askar asing' di samping melaksanakan 'aktiviti agama diharamkan pada majlis perkahwinan anak perempuannya, menurut agensi berita Xinhua

Kenyataan mahkamah juga berkata, Sattar Sawut iaitu bekas pengarah jabatan pendidikan Xinjiang turut dijatuhkan hukuman mati yang ditangguhkan untuk tempoh dua tahun.

Ia selepas lelaki itu didapati bersalah atas jenayah aktiviti pemisah dan menerima rasuah.

Sawut didapati bersalah kerana memasukkan elemen pemisahan etnik, keganasan, fahaman agama melampau dalam buku teks di dalam bahasa Uighur, kata pegawai rasmi.

Mahkamah berkata, buku teks itu mempengaruhi ramai orang untuk terbabit dalam siri serangan di Urumqi termasuk rusuhan yang menyebabkan 200 kematian pada 2009.

Hukuman mati yang ditangguhkan lazimnya akan ditukar kepada hukuman penjara sepanjang hayat.

Disiarkan pada: April 7, 2021 @ 10:56am
d