Asia

Berebut mahkota di atas pentas

Oleh AFP

Colombo: Bagaikan dalam drama, pentas ratu cantik di Sri Lanka bertukar 'ribut' apabila mahkota di kepala seorang wanita terpaksa diambil semula selepas didapati melanggar syarat pertandingan.

Pertandingan 'Mrs Sri Lanka' yang disiarkan secara langsung di televisyen rasmi negara itu pada Ahad lalu menyaksikan Pushpika De Silva itu dimalukan di khalayak ramai.

Pada mulanya, juri memilih Pushpika sebagai Mrs Sri Lanka 2020.

Namun, hanya beberapa minit diumumkan pemenang dan dipakaikan mahkota, kemenangan Pushpika dibantah Mrs Sri Lanka 2019, Caroline Jurie yang mendakwa kemenangan wanita itu tidak sah kerana melanggar peraturan pertandingan.

Pushpika dikatakan sudah bercerai, sedangkan syarat pertandingan mewajibkan pesertanya masih berkahwin.

Susulan itu, Caroline mengambil semula mahkota di kepala Pushpika untuk dianugerahkan kepada naib juara.

Hasil siasatan penganjur pula mendapati Pushpika masih belum bercerai, namun tinggal berasingan dengan suaminya.

Penganjur acara mengemukakan permohonan maaf kepada Pushpika dan berjanji akan mengembalikan mahkota yang dimenanginya pada Selasa lalu.

Selain dimalukan, Pushpika juga dilapor mengalami kecederaan di kepala, semasa mahkotanya ditarik dengan kasar di atas pentas.

Susulan itu, polis melakukan siasatan ke atas Caroline atas perbuatannya membuat tuduhan terhadap Pushpika.

Penganjur juga dipercayai menuntut ganti rugi daripada Caroline atas kerosakan pada bilik persalinan di pentas dengan beberapa cermin pecah.

"Kami juga sedang melakukan siasatan," kata pemegang francais acara itu, Chandimal Jayasinghe.

Caroline juga 'Mrs World' juga dituduh penganjur sebagai selebriti yang tidak menghormati acara yang disiarkan secara langsung di platform media sosial.

Chandimal mengatakan kepada wartawan mereka sangat terganggu dan kesal dengan tingkah laku Caroline.

Malah, netizen di media sosial menuntut supaya gelaran Mrs World dilucutkan daripada Caroline.

Setakat ini, tiada komen daripada Caroline mengenai kekecohan itu.

Disiarkan pada: April 8, 2021 @ 12:11pm
d