Asia

Bahrain lepaskan banduan kerana jangkitan Covid-19 di penjara

Oleh AFP

Dubai: Ratusan tahanan, termasuk banduan politik dilepaskan dari penjara Bahrain selepas keluarga mereka mengadakan protes kerana terdapat kes jangkitan Covid-19 di penjara berkenaan.

Aktivis berkata, pihak berkuasa berjanji untuk melepaskan 126 banduan dan 73 tahanan lagi namun, hanya 166 sudah dilepaskan setakat ini dari penjara di Faw, di timur negara berkenaan.

Ia termasuklah Mohamed Jawad, 75, bapa saudara aktivis hak asasi, Nabil Rajab yang sudah menghabiskan masa 10 tahun di sebalik tirai besi.

Namun, pelepasan itu bermakna mereka perlu menghabiskan tempoh hukuman secara penandaan elektronik.

Pihak berkuasa Bahrain berkata, tiga banduan dijangkiti Covid-19 dan sudah diasingkan serta dalam keadaan stabil.

Program vaksinasi juga sudah diselesaikan, kata kementerian kesihatan.

Tetapi, Institut Hak dan Demokrasi Bahrain yang berpengkalan di London berkata, puluhan banduan dijangkiti virus berkenaan di penjara yang sesak itu.

Sejak pemberontakan pimpinan Syiah pada 2011 di negara Sunni yang diturunkan dengan sokongan ketenteraan Arab Saudi, Bahrain telah melarang parti pembangkang dan menahan puluhan aktivis sehingga mencetuskan kritikan antarabangsa.

Disiarkan pada: April 10, 2021 @ 9:11pm
d