Asia

AS hantar aset bantu pencarian kapal selam Indonesia

Oleh AFP

Jakarta: Amerika Syarikat menghantar aset bantuan udara untuk membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) kapal selam Indonesia, KRI Nanggala 402 yang hilang.

Ia dimaklumkan oleh Jurucakap Pentagon, John Kirby pada Khamis.

Kapal KRI Nanggala itu dilaporkan terputus hubungan ketika sesi latihan di perairan berhampiran Bali, pada awal pagi Rabu.

Menurut laporan media, kapal buatan Jerman pada 1978 itu membawa 53 anak kapal, terputus hubungan pada 4.30 pagi di perairan utara Bali.

Kapal selam itu dikatakan sedang melakukan latihan torpedo.

Media sebelum ini melaporkan pelbagai aset ketenteraan Indonesia dikerahkan dalam misi pencarian itu.

Ia termasuk menggunakan lima kapal, KRI Raden Eddy Martadinata 331, KRI Gusti Ngurah Rai 332, KRI Diponegoro 365, KRI dr Soeharso 990, KRI Pulau Rimau 724 dan Helly Panther.

Selain itu, ia mendapat bantuan daripada beberapa negara termasuk Singapura dan Malaysia yang masing-masing menghantar kapal penyelamat kapal selam.

Misi pencarian diperhebat memandangkan bekalan oksigen dalam kapal selam itu dijangka bertahan sehingga Sabtu.

Berita berkaitan:

  • Bekalan oksigen ada 72 jam lagi
  • Kapal selam Indonesia hilang
  • Kesan tumpahan minyak
  • TLDM bantu pencarian kapal selam Indonesia
  • Disiarkan pada: April 23, 2021 @ 8:54am
    d