Asia

Padah 'bergurau' tak kena tempat

Oleh Agensi

Jakarta: Gara-gara menyebut ada bom di dalam beg tangan, seorang penumpang pesawat Wings Air ditahan petugas di Lapangan Terbang Frans Xavier Seda, Maumere, Sikka Nusa Tenggara Timur (NTT).

Kompas.com melaporkan, kejadian berlaku ketika wanita itu dan anaknya yang berusia 11 tahun mendaftar masuk untuk sebuah pesawat ke Jakarta.

Ketua Polis Daerah NTT, Rishian Krisna Budhiaswanto berkata, berdasarkan keterangan wanita itu, dia mengaku bergurau mengenai ada bom di dalam beg tangannya.

"Ada unsur rasa tidak puas hati apabila dia perlu membayar muatan bagasi melebihi had," katanya.

Menurutnya, sebaik mendengar perkara itu, petugas keselamatan penerbangan serta beberapa penumpang di situ menjadi panik.

Kemudian, petugas terus menghubungi pihak berkuasa lapangan terbang yang kemudian memeriksa beg tangan terbabit.

Tidak lama kemudian wanita itu bersama anaknya yang berusia 11 tahun dibawa ke pos pengawal untuk disoal siasat.

"Dia mengaku bersalah kerana tindakannya itu dan memohon untuk menyelesaikannya secara dalaman," katanya.

Selepas siasatan lanjut dijalankan dan disahkan bahawa tiada bom seperti didakwa, petugas meminta wanita itu membuat permohonan maaf dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi.

"Surat berkenaan ditandatangani di pos keselamatan Maumere pagi tadi. Wanita berkenaan kemudiannya dibenarkan pulang," katanya.

Disiarkan pada: May 4, 2021 @ 3:43pm
d