Asia

'Saya ingin ubah dunia, albino bukan sumpahan'

Oleh Agensi

Beijing: Dia pernah ditinggalkan ibu bapanya di pusat asuhan.

Itu antara pengalaman menyedihkan pernah dilalui Xueli hanya kerana dia dilahirkan sebagai albino.

Namun, penampilan Xueli yang pucat kerana kekurangan pigmen dan sensitif terhadap cahaya matahari itu menjadikannya seorang yang cekal hingga mampu menempa nama dalam pentas peragaan.

Pada usianya 16 tahun, wajahnya menghiasi muka depan majalah Vogue dan meraih kepercayaan banyak pereka fesyen ternama untuk menggayakan rekaan mereka.

Menurut Xueli, dia dijaga keluarga angkat di Belanda sejak usianya tiga tahun.

"Saya beruntung kerana hanya dibuang orang tua saya walaupun tanpa sebarang dokumen pengenalan diri.

"Sedangkan beberapa anak seperti saya dikurung, malah di Afrika, misalnya golongan ini dibunuh dan dikerat anggota badannya untuk membuat ramuan ubat," katanya dalam portal BBC News.

Katanya, dia menceburi bidang peragaan secara tidak sengaja ketika usianya 11 tahun.

"Ibu angkat saya berkawan dengan seorang pereka fesyen dari Hong Kong yang mempunyai anak lelaki berbibir sumbing.

"Dia tekad mereka pakaian sangat mewah untuk anaknya supaya orang tidak hanya melihat kekurangan pada bibirnya saja.

"Dia mempelawa saya memperagakan rekaan terbarunya itu di Hong Kong yang akhirnya menjadi pengalaman luar biasa dan permulaan karier saya," katanya.

Xueli berkata, sejak itu, dia diundang ke beberapa sesi penggambaran dengan salah satunya mendapat sentuhan jurugambar terkenal, Brock Elbank.

"Namun, tidak semudah itu perjalanan karier saya kerana menghidap albino membuatkan penglihatan saya terhad dan boleh melihat antara lapan hingga 10 peratus saja.

"Saya tidak mampu melihat cahaya matahari kerana mata saya akan sakit.

"Kadangkala sesi rakaman gambar tergendala seketika jika cahayanya terlalu terang," katanya.

Katanya, dia mahu memanfaatkan kariernya bagi membincangkan isu albino secara terbuka kepada orang ramai.

"Saya ingin mengubah dunia. Albino bukan sumpahan, tetapi hanya masalah genetik.

"Saya mahu mereka yang albino atau memiliki kekurangan lain boleh melakukan apa yang mereka inginkan," katanya.

Disiarkan pada: May 7, 2021 @ 6:32am
d