Asia

China haramkan video 'mukbang'

Oleh Agensi

Beijing: Penyiaran video 'mukbang' yang pernah menjadi trend sebelum ini sudah diharamkan oleh Kerajaan China.

New York Post melaporkan, tindakan itu diambil bagi menjayakan kempen mengelak pembaziran makanan.

Di bawah undang-undang baru, mana-mana individu yang memuat naik kandungan berkaitan makan dalam kuantiti banyak dan melakukan pembaziran makanan boleh didenda sehingga 100,000 yuan (kira-kira RM63,000).

Larangan itu memberi kesan kepada video 'mukbang' yang dimuat naik YouTuber di negara berkenaan.

Ini kerana ada video seumpama itu sudah dipadamkan di media sosial China seperti di TikTok Douyin.

Difahamkan, bukan hanya YouTuber dan pengguna media sosial saja terikat dengan undang-undang itu.

Sebaliknya, pengusaha kedai makan atau restoran juga boleh didenda seandainya cuba mempromosikan dan mengelirukan pelanggan untuk membeli makanan dalam jumlah banyak.

Ini kerana tindakan sedemikian boleh mengakibatkan pembaziran makanan.

Susulan langkah kerajaan itu, kebanyakan restoran di China kini berhati-hati dalam menyediakan kuantiti makanan untuk pelanggan supaya tidak membazir.

Terdahulu, sebuah restoran di wilayah Hunan dikatakan menawarkan menu khas dan menjual makanan mengikut berat badan pelanggan.

Disiarkan pada: May 10, 2021 @ 10:41am
d